~SALAM DARI PENGARANG~

          Terima kasih kerana sudi melayari laman web MotivasiHaji.com kami yang tidak sepertinya ini.

          Sejambak tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Tuan/Puan, saudara/saudari yang telah tersentuh hati dan terpanggil hasrat untuk mengetahui serba sedikit latar belakang dan susur galur pelaksanaan ibadah haji dan umrah.

            Sekalung terima kasih juga saya hulurkan kerana telah memberikan sepenuh kepercayaan dan memilih laman web ini kami ini sebagai wadah dan wahana untuk mendapatkan maklumat, serta bimbingan yang diperlukan bagi menggarap pelaksanaan haji/umrah yang mabrur serta maqbul di sisi Allah SWT.

            Ketahuilah wahai tuan/puan, saudara/saudari sekalian bahawa haji dan umrah itu adalah kewajipan mutlak setiap hamba Allah yang beriman dan bertaqwa serta mukmin sejati yang berhasrat untuk menghuni syurga Allah dan menikmati kehidupan yang aman, sentosa, sejahtera dan bahagia di alam akhirat kelak yang jejal dan abadi itu. Sesungguhnya, banyak firman Allah SWT dan hadith baginda Rasulullah SAW yang membicara serta mengungkapkan arahan dan tuntutan tersebut. Setiap kita yang bergelar Muslim dan berhasrat untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati wajib memasang niat, cita-cita dan iltizam untuk menunaikan kedua-dua ibadah berkenaan. Tanpa niat, cita-cita serta iltizam tersebut dikhuatiri diri kita ini akan terjerumus ke lembah yang dimurkai serta dilaknati oleh Allah SWT.

            Ingatlah wahai handai taulan, tuan puan serta saudara saudari yang budiman. Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara yang lain iaitu muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, serta hidup sebelum mati. Realisasikanlah tuntutan dan kewajipan haji/umrah itu sebelum 5 perkara yang disebutkan tadi menimpa diri kita.

            Ketahuilah juga bahawa haji dan umrah bukanlah suatu pergelandangan atau program pelancongan berbentuk islamik seperti yang lazim didefinasikan atau dijadikan trend kehidupan masyarakat Islam dewasa ini. Saban tahun berbondong-bondong rakyat negara ini pergi menunaikan haji dan umrah. Ramai di antara mereka yang membawa bersama anak-anak dan cucu-cicit kononnya untuk mendapat keberkatan Kota Suci Makkah dan Madinah tanpa mengetahui dan mendalami konsep dan matlamat ibadah haji dan umrah berkenaan. Ramai juga yang beranggapan bahawa haji/umrah itu sebagai penebus dosa.

            Sesungguhnya wahai saudara yang budiman, pekerjaan haji dan umrah itu penuh dengan syariat dan peraturan serta hikmah dan pantang-larang yang wajib diketahui semasak-masaknya sebelum melangkahkan kaki bagi merealisasikannya. Ia tidak boleh diterjah dan diterpa sesuka hati dan ia juga bukan suatu program trial and error yang boleh diulang atau dikerjakan semula dengan sewenang-wenangnya. Ia memerlukan perancangan yang berkala dan komprehensif, sistematik dan spesifik, bukannya program secara ad hoc atau tangkap muat sahaja. Ia perlu dihayati, difahami dan diinsafi semasak-masak dan selumat-lumatnya sebelum dikerjakan kerana risikonya amat tinggi dan merbahaya. Balasan dan ganjarannya teramat besar sama ada Allah redha atau murka yang akan menjurus kepada anugerah atau laknat yang menjerumuskan kita ke dalam syurga atau neraka.

            Insafilah juga bahawa haji dan umrah yang mabrur dan diterima Allah SWT itu memerlukan persediaan ilmu pengetahuan yang tegar dan mantap tentang hukum hakam, wajib sunat, haram makruh berhubung dengan manasik serta ritual pelaksanaannya serta memahami sejelas-jelasnya tentang falsafah, fadhilat serta hikmah dan cabarannya.

            Di samping itu, haji dan umrah yang berkualiti dan mabrur serta diterima di sisi Allah SWT juga memerlukan penggarapan yang penuh dengan penghayatan, keinsafan, kerendahan diri, ketulusan hati, keikhlasan budi, kemurnian pekerti serta kepasrahan dan keistiqamahan iktikad, niat, hasrat, keazaman dan keiltizaman yang sejati serta suci murni. Segala nafsu dan sifat-sifat mazmumah (terkeji dan tercela) yang bersarang dalam diri perlulah dikikis serta dihapuskan keseluruhannya terlebih dahulu sebelum kaki melangkah untuk menjadi tetamu Allah dalam sesuatu musim haji atau program umrah. Segala sifat-sifat seperti pemarah, tidak sabar, tergopoh gapah, bongkak, sombong, ujub, waham, sum’ah, dengki, khianat, suka mengadu domba, celupar dan seumpamanya wajib dilunakkan keliaran dan keserakahannya semaksimum yang termampu.

            Sesungguhnya terlalu banyak aspek dan faktor yang meliliti sesuatu ibadah haji dan umrah itu yang wajib diketahui oleh para jemaah bakal tetamu Allah. Ilmu pengetahuan serta penghayatan dalam hubungan kita dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan kita sesama manusia atau jemaah (hablumminannas) perlu berjalan seiring dan senada, serentak dan seirama agar seimbang dan sepadu bagaikan aur dengan tebing yang saling sandar menyandar serta lengkap melengkapi. Jika faktor ini kita abaikan dan dianggap mudah serta remeh temeh sahaja, maka akan wujudlah kelompok jemaah yang merengek-renegk minta dihantar pulang ke tanah air meskipun baru beberapa hari menjejakkan kaki ke tanah suci. Tidak hairanlah sekiranya terdapat senario di mana jemaah bertengkar dan bersengketa sesama sendiri di kota suci yang amat melarang sebarang bentuk pertengkaran, peninggian suara, perbalahan, persengketaan, perselisihan pendapat, caci mencaci, cerca mencerca, serta umpat mengumpat itu. Jangan kaget dan terperanjat jika melihat ada jemaah yang tidak mahu bersolat di dalam Masjidil Haram yang menjanjikan satu solat itu digandakan 100, 000 kali solat dan merelakan diri bersolat di lobo-lobi hotel sahaja. Jangan hairan dan musykil sekiranya melihat ada jemaah yang tidak mahu pergi berwukuf di Padang Arafah sedangkan berwukuf itu adalah rukun haji yang apabila ditinggalkan, maka gagal dan tidak sempurnalah haji mereka. Juga jangan sedih dan terharu jika melihat ada pasangan suami isteri yang bergaduh dan bersengketa hingga bercerai berai di tanah suci yang aman, damai serta penuh barakah dan rahmat Allah itu. Banyak lagi perkara dan fenomena yang tidak sepatutnya berlaku kepada mereka yang sedang menggapai keredhaan dan keampunan Ilahi, tetapi berlaku di tanah suci Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah itu.

            Yakinilah bahawa semua itu adalah gara-gara kecetekan ilmu pengetahuan, kesamaran visi dan misi haji dan umrah jemaah terbabit, kedangkalan matlamat serta objektif diri, kelemahan serta kepudaran penghayatan, nafsu-nafsu mazmumah yang masih liar dan serakah serta nafsu-nafsu mahmudah (terpuji) yang tidak digilap sepenuhnya sebelum menjadi tetamu Allah.

            Mahukah kita tergolong dalam golongan di atas? Pastinya tiada siapa yang mahu, namun tidak ada sebarang jaminan bahawa kita akan terselamat daripada terjerumus ke dalam kelompok tersebut tanpa membuat persediaan diri. Berdoa sahaja tidak memadai sekiranya tidak disertakan dengan usaha dan tindakan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Justeru itu, wajiblah kita membuat persediaan berikut:

v                    Buat persediaan awal

v                    Buat perancangan yang spesifik, sistematik dan komprehensif

v                    Banyakkan bertanya dan menghadiri kursus

v                    Banyakkan membaca bahan-bahan berkaitan ibadah haji/umrah

v                    Jangan sekali-kali berpuas hati dengan buku atau naskah percuma yang dibekalkan oleh agensi pengendali haji/umrah

v                    Jangan sayangkan wang untuk membeli bahan-bahan yang boleh membantu meningkatkan kualiti haji/umrah

v                    Banyakkan menonton VCD berkaitan dengan pelaksanaan atau aplikasi ibadah haji/umrah yang banyak terdapat di pasaran

           

            Syukur, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, saya telah diberikan peluang serta rezeki untuk menunaikan 3 kali haji (1992, 2002, 2005) serta 14 kali umrah (setakat ini). Justeru, saya sering terfikir “bagaimana dapat saya membalas budi baik, rahmat serta kasih sayang Allah itu?” Pada masa yang sama saya amat bimbang ditempelak oleh Allah SWT kelak kerana tidak berbuat sesuatu dengan limpah kurnia Allah yang amat banyak dan melimpah ruah kepada saya itu. Saya amat bimbang dicop serta dilabel oleh Allah SWT sebagai seorang insan yang kufur nikmat serta hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Saya tidak sanggup membawa segala ilmu dan pengetahuan yang telah dianugerahi Allah berkaitan haji/umrah ke liang lahad dan berkubur bersama jasad dan gagal meninggalkan sebarang manfaat  kepada saudara mara, sahabat handai, anak cucu serta sekalian Muslimin Muslimat.

            Alhamdulilllah, setelah saya bersara dari dunia pekerjaan sebagai seorang pendidik mulai 10 September 2004 yang lepas, maka saya telah berusaha dengan gigih dan sepenuh semangat serta keiltizaman yang membuak-buak dalam diri untuk mencapai hasrat dan matlamat tersebut kerana ajal maut itu tidak pasti bila dan ketika kedatangannya. Hasilnya, saya telah berjaya menghasilkan beberapa  buah buku seperti berikut:

1) Buku Haji & Umrah: Falsafah, Fadhilat dan Hikmah serta Cabarannya

2) Buku Tatacara Komprehensif Mengerjakan Haji

3) Buku Panduan Menggarap Haji Mabrur

4) Buku Bimbingan Komprehensif Mengerjakan Umrah

5) Buku Titik-Titik Hitam di Persada Suci Haji

6) Koleksi Kisah & Teladan: Iktibar Tanah Suci (Makkah & Madinah)

7) Umrah: Mekanisma Pembentukan Mukmin Sejati

8) 700 Tip dan Manual Pelaksanaan Umrah Mabrur

            Kesemua buku tersebut telah pun berada di pasaran tetapi berkemungkinan besar hanya terdapat di kedai-kedai buku di bandar-bandar besar sahaja. Sehubungan itu, atas dasar keprihatinan dan kecaknaan yang mendalam, maka pihak kami telah menyediakan laman web ini bagi membolehkan buku-buku ini dapat dimiliki oleh semua orang tidak kira di mana mereka berada dan sesibuk mana pun mereka. Ia juga bagi memastikan setiap bakal haji atau umrah yang berminat dan bersungguh-sungguh dalam usaha mereka untuk menggarap ibadah haji/umrah mereka  yang terbaik dan berkualiti tidak terlepas daripada mendapat maklumat  dan bimbingan yang sewajarnya.

            Selain dari buku-buku di atas, saya juga telah menghasilkan sebuah VCD berbentuk dokumentari berjudul “Jejak-Jejak Suci Tetamu Allah” yang menggambarkan dengan terperinci pergerakan dan tatacara pelaksanaan ibadah haji secara realitinya. VCD yang mengandungi 7 episod ini lengkap dengan suara latar dan adunan lagu-lagu berkaitan dengan haji/umrah, dan menggambarkan perjalanan para jemaah yang bermula dari rumah, check in di Komplek Haji Kelana Jaya, berangkat ke KLIA, tatacara dalam pesawat, tatacara di Terminal Haji KAAIA Jeddah, pergerakan ke Makkah, aktiviti menunggu hari wukuf, pergerakan ke Padang Arafah, wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan bermalam 4 hari 3 malam di Mina, melontar jamrah, menyempurnakan tawaf ifadah dan saie haji, melakukan umrah sunat, ziarah ke Madinah dan seterusnya kembali semula ke tanah air. VCD ini adalah terbitan saya sendiri dan tidak dijual di mana-mana. Ia adalah terjemahan dan penjelmaan visual kepada segala teori dan saranan yang telah digariskan dalam buku-buku tulisan sayarrfv. Suatu kerugian yang besar sekiranya bakal-bakal haji/umrah tidak mahu memiliki VCD ini atau berkira-kira membelanjakan wang untuk mendapatkannya kerana ia menggambarkan secara jelas dan terang setiap peristiwa yang bakal mereka lalui di tanah suci kelak. Jadi, sedikit sebanyak minda kita akan terjurus dan kita pasti tidak akan terpinga-pinga atau dikejutkan oleh gambaran/realiti sebenar yang bakal kita lihat di tanah suci kelak. Bukankah itu satu kelebihan? Bukankah itu sesuatu yang amat perlu kita ketahui?

            Di samping menulis, kini saya juga memberikan kursus motivasi haji/umrah kepada jemaah yang berminat. Beberapa bulan sekali, saya membawa, membimbing dan memimpin jemaah umrah bermula dari tanah air, di Makkah dan Madinah sehingga kembali semula ke tanah air. Sebelum berangkat pergi lazimnya saya akan memberikan kursus bimbingan 7-8 kali secara percuma supaya pemergian jemaah ke tanah suci untuk mengerjakan umrah berbaloi dengan jumlah wang yang mereka laburkan bagi tujuan tersebut. Saya bersedia memberikan bimbingan motivasi kepada mana-mana individu/jemaah yang memerlukannya semata-mata kerana Allah. Saya boleh dihubungi di alamat yang tertera di bawah.

 

Ya Allah... berilah sokongan kepada laman web kami ini

Bukan keuntungan yang kami kejari

Tetapi keredhaan Allah Rabbul Izzati

Mengapa harus kita berkira-kira

Membeli ilmu yang berfaedah dan berguna

Membekalkan kita maklumat dan tatacara

Ke arah ibadah yang berkualiti dan diterima...

 

Sekian. Akhiru kalam, salam dedikasi daripada saya.

HAJI ZAINAL BIN HAJI BUJANG

30, Jalan Melati 23, Taman Sri Melati

68100 Selayang, Selangor.

013-342 5528