
10 kali ke Mekah, cetus idea tulis
buku (Keratan Akhbar Bacaria, 17 Ogos
2005)
Oleh
SITI AZNOR ANUR
PENGALAMAN mengajar seseorang
menjadi lebih matang dan berhati-hati, apatah lagi jika ia berkait rapat dengan
ibadah yang mementingkan kesempurnaaan. Ini bertepatan dengan pengalaman
pertama seorang pesara guru, Haji Zainal Haji Bujang, 57, menjejakkan kaki ke
Mekah telah membuka hati dan matanya betapa pentingnya ilmu pengetahuan dan
pendedahan sebelum menunaikan haji ataupun umrah.
Setelah sepuluh kali
Zainal mengunjungi Mekah untuk melakukan ibadah haji dan umrah, pengalaman yang
ditimba telah menjadi sumber inspirasinya menghasilkan buku panduan mengerjakan
haji dan umrah sebagai bimbingan juga memberikan gambaran sebenar apa yang
perlu dilakukan apabila tiba di Tanah Suci.
Katanya kesilapan yang timbul
ketika mengerjakan ibadah haji ataupun umrah akibat kecetekan pengetahuan
menyebabkan ibadah yang dilakukan menjadi tidak sempurna.Menurut Zainal,
kegagalan tersebut bukan atas kehendak atau ketentuan Allah tetapi dijana oleh
kelalaian serta kealpaan indvidu itu sendiri.
“Pertama kali mengerjakan haji
pada tahun 1992, setiap ibadah yang saya lakukan adalah bersifat ikut-ikutan.
Apatah lagi pengetahuan saya adalah cetek yang hanya didapati melalui
kursus-kursus pendek dan bahan bacaan. Sedangkan tuntutan ibadah haji begtu
luas dan mencabar.”
Saya
terkapai-kapai mengharungi satu suasana yang asing sewaktu di Madinah dan
Mekah. Fenomena itu sering menjadikan diri dalam situasi yang penuh kecelaruan
dan kekeliruan. Saya pernah menyongsang hala kiblat ketika bersolat di makan
Rasulullah s.a.w yang menimbulkan kehairanan dan tanda tanya kepada jemaah
lain,” jelasnya jujur.
Bukan
sekali dia mengalami kesukaran untuk mendapat kekhusyukan beribadah kerana
kekurangan ilmu ketika pertama kali menunaikan ibadah haji.
Dia
seringkali khuatir untuk bersolat di hadapan Kaabah ataupun membuat tawaf pada
waktu hampir solat kerana takut dimarahi oleh petugas dan pengawal masjid.
Kefahaman
tentang Raudah, Al-Baqi’, Masjid Quba dan Kaabah begitu kabur baginya sehingga
menjejaskan sedikit sebanyak kekhusyukan ibadahnya. Justeru, dia terpaksa
merelakan dirinya bersolat di ruang solat yang jauh dari masjid dan kadangkala
bersolat sahaja di sebuah masjid yang kebetulan bertentangan dengan hotel
tempat penginapannya.
“Apa
sahaja yang saya lihat semuanya baru dan asing belaka. Perlakuan saya umpama
rusa masuk kampung yakni tercengang-cengang penuh kekaguman dan kehairanan.
Suatu hari saya lihat ramai jemaah berbaris menunggu giliran dan berasak-asak
untuk solat di satu mihrab sehingga menimbulkan persoalan di benak saya apakah
keistimewaannya.
“Keesokannya,
melalui seorang kawan barulah saya tahu tempat itu adalah Mihrab Nabi (Raudhah)
di mana Nabi Muhammmad s.a.w pernah mengimami solat-solat berjemaah di Masjid Nabawi
ketika itu. Selepas mengetahui fadhilatnya, barulah saya berusaha untuk
sama-sama bersolat di situ,” terangnya lagi.
Berdasarkan
pengalaman-pengalaman yang pernah dilaluinya, telah membuka hatinya untuk
membantu bakal-bakal haji memahami dengan lebih jelas tentang semua syariat dan
tuntutan haji dengan kaedah pelaksananan dan pengisiannya yang lengkap dan
komprehensif.
Di
dalam buku itu juga terkandung penghuraian berbentuk nota ringkas berserta
gambar-gambar yang diambil khusus untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas
kepada bakal-bakal haji.
Dua
buah buku yang ditulis oleh Zainal ialah ‘Mengerjakan Haji Mabrur’ dan ‘Panduan
Mengharap Haji Mabrur’. Harapannya agar setiap jemaah akan dapat menyempurnakan
ibadah haji mahupun umrah dengan sebaik-baiknya. Apatah lagi bukan semua orang
berpeluang untuk pergi buat kali kedua.